Olimpik Paris 2024: Ungguli saringan, namun Rouxin terlepas separuh akhir
Bernama
Julai 28, 2024 19:07 MYT
Julai 28, 2024 19:07 MYT
PARIS: Meskipun mengungguli saringan pertama 100 meter (m) kuak dada wanita, perenang negara Tan Rouxin gagal menempatkan diri dalam 16 terbaik untuk bertanding dalam separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Beraksi di Paris La Defense Arena, Rouxin mencatatkan satu minit dan 12.50 saat (s) untuk mengatasi atlet Maghribi Imane Houda El Barodi di tempat kedua dengan 1:14.57s manakala Ellie Shaw dari Antigua dan Barbuda memperoleh tempat ketiga dengan 1:14.78s.
Pertama kali beraksi di temasya berprestij itu, atlet berusia 18 tahun berkenaan menamatkan saingan secara keseluruhan di tempat ke-33 manakala Tatjana Smith dari Afrika Selatan yang memenangi saringan keempat menjuarai carta dengan 1:05.00s.
Masa yang direkodkan Rouxin jauh ketinggalan daripada rekod kebangsaan 1:08.40s dipegang Phee Jinq En yang dilakukan beliau di Tokyo 2020.
Semalam, jaguh renang negara Khiew Hoe Yean gagal pada saringan kedua 400 meter gaya bebas lelaki.
Kregor Zirk dari Estonia mendominasi saringan itu dengan 3:49.59s, manakala Eduardo Cisternas dari Chile mencatat 3:51.29s untuk tempat kedua dan Ilya Sibirtsev dari Uzbekistan di tempat ketiga dengan 3:51.52s.
Di sebalik usaha yang membanggakan itu, catatan masa Hoe Yean gagal menempatkan beliau dalam kalangan lapan perenang terbaik untuk mara ke final.
-- BERNAMA