Olimpik Paris 2024 tawar 222,000 jemputan percuma ke majlis perasmian

Astro Awani
Mac 5, 2024 07:00 MYT
Tawaran 222,000 tempat duduk untuk upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan tambahan kepada 104,000 penonton berbayar yang akan menonton majlis dari dermaga bawah. - Foto REUTERS
PARIS: Jemputan percuma ke majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 akan diberikan kepada 222,000 penonton yang dipilih oleh pihak berkuasa, kata Menteri Dalam Negeri Perancis pada Selasa.
Pihak berkuasa tempatan dan badan-badan penganjur lain masing-masing akan diberikan sejumlah jemputan untuk diedarkan.
Para tetamu dilaporkan perlu melalui proses pemeriksaan keselamatan yang diawasi oleh perkhidmatan perisikan sebelum mereka boleh menghadiri acara itu dari pelabuhan atas Sungai Seine.
Tawaran 222,000 tempat duduk ini merupakan tambahan kepada 104,000 penonton berbayar yang akan menonton majlis dari dermaga bawah.
Kesemua 326,000 penonton yang diundang merupakan hampir separuh daripada 600,000 yang dianggarkan hadir dalam rancangan asal.
Dalam masa sama, menteri berkenaan berkata, sekiranya perlu, beliau berhak menyemak semula jumlah tetamu ke acara sukan berprestij dunia itu. - REUTERS
#Sukan Olimpik Paris 2024 #jemputan percuma #sungai seine #penonton berbayar
;