Olimpik Paris 2024: Tangisan, kecederaan tutup tirai hari kelima kontinjen Malaysia

Bernama
Ogos 1, 2024 08:20 MYT
Ee Wei yang jatuh tergolek pada awal perlawanan dan terpaksa tahan kesakitan dengan memakai pendakap tulang belakang. - Foto BERNAMA
PARIS: Tangisan pemain beregu campuran Chen Tang Jie selepas beliau dan gandingannya, Toh Ee Wei tersingkir pada suku akhir mengakhiri hari kelima kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini.
Penampilan pertama gandingan di ranking kesembilan dunia itu berakhir selepas tewas 19-21, 14-21 menentang pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun di Porte de La Chapelle Arena.
Terdahulu, Ee Wei yang jatuh tergolek pada awal perlawanan dan terpaksa tahan kesakitan dengan memakai pendakap tulang belakang.
Sementara itu, seperti dijangka pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia mudah melepasi peringkat Kumpulan G dengan kemenangan 21-10, 21-13 ke atas pemain berpengalaman Sepanyol Pablo Abian yang beraksi dalam Olimpik kelima sejak edisi Beijing 2008.
Dalam aksi pusingan 16 terbaik pada Khamis, Zii Jia bakal menghadapi cabaran pilihan utama Perancis, Toma Junior Popov bagi perebutan slot ke suku akhir.
Popov dengan sokongan padu penonton tuan rumah berjaya mencipta kejutan besar ke atas pemain nombor sembilan dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 21-19, 17-21, 21-15 untuk muncul juara Kumpulan H, sekali gus mara ke pusingan kalah mati.
Namun, nasib berbeza bagi rakannya apabila pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei pulang dengan kekecewaan selepas terkandas di pusingan kalah mati setelah tewas 17-21, 22-20, 21-23 kepada Kim Ga Eun dari Korea Selatan.
Sementara itu, pemanah wanita negara Ariana Nur Diana Mohamad Zairi hampir mencipta kejutan menyingkirkan juara dunia 2022, Chiara Rebagliati dari Itali sebelum tewas menerusi 'shoot-off' acara recurve di Invalides.
Pada aksi penyingkiran 1/32 acara individu wanita itu, kedua-dua pemanah terikat 5-5 sebelum Ariana Nur Diana tewas 5-6 selepas membidik sembilan mata manakala Rebagliati cemerlang dengan bidikan tepat 10 (bull-eyes) dalam bidikan satu anak panah penentuan.
Seorang lagi pemanah negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil yang sepatutnya turun beraksi menentang Elif Berra Gokkir dari Turkiye pada satu lagi aksi penyingkiran 1/32 petang tadi terpaksa tunggu sehingga malam Khamis.
Ia berikutan enam aksi pusingan penyingkiran 1/32 dan 1/16 yang sepatutnya diadakan selepas jam 7 malam ini (1 pagi Khamis di Malaysia) ditunda 24 jam kerana cuaca hujan dan ribut petir.
Cabaran kontinjen Malaysia pada Khamis masih akan tertumpu di Porte de La Chapelle Arena dengan dua lagi aksi suku akhir acara beregu, selain Zii Jia.
Beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik turun berdepan juara Sukan Asia Hangzhou 2022, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India manakala beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah berdepan pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam perebutan slot ke separuh akhir.
Pada Khamis juga, dua lagi sukan akan membuka kempen bagi kontinjen negara iaitu golf di Le Golf National Golf dan pelayaran di Marina Marseille, lebih kurang 700km dari sini.
Pemain golf nombor satu negara Gavin Kyle Green akan beraksi dalam pusingan pertama acara individu lelaki manakala pelayar Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif masing-masing beraksi dua perlumbaan pertama acara single handed dinghy ILCA 7 dan single handed dinghy ILCA 6.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Porte de La Chapelle Arena #suku akhir #badminton
;