Olimpik Paris 2024: Sweden raih emas bola tampar pantai
Bernama
Ogos 11, 2024 10:00 MYT
Ogos 11, 2024 10:00 MYT
PARIS: David Ahman dan Jonatan Hellvig memenuhi ramalan sebagai pilihan utama apabila mereka menghadiahkan Sweden pingat emas pertama dalam acara bola tampar pantai pada Sabtu di Sukan Olimpik Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemain yang menduduki ranking nombor satu dunia itu tidak menghadapi banyak masalah dalam kemenangan 21-10, 21-13 ke atas Nils Ehlers dan Clemens Wickler dari Jerman di kaki Menara Eiffel.
Ia merupakan kemenangan ke-12 mereka dalam 13 pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Ehlers dan Wickler sebelum ini menewaskan juara Tokyo 2020, Anders Berntsen Mol dan Christian Sandlie Sorum dari Norway buat kali pertama dalam perlawanan separuh akhir.
Mol dan Sorum membawa pulang gangsa selepas menewaskan pemain Qatar, Cherif Younousse dan Ahmed Tijan dengan keputusan 21-13, 21-16.
-- BERNAMA