Olimpik Paris 2024: Shah Firdaus mara ke final keirin! Harapan pingat terakhir kembali menyubur
Astro Awani
Ogos 11, 2024 18:51 MYT
Ogos 11, 2024 18:51 MYT
PARIS: Dengan kerahan segala kudrat yang ada, perjuangan atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom hampir terhenti di saingan separuh akhir keirin di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada hari terakhir temasya Olimpik 2024 di Paris.
Berbaki satu setengah pusingan, Shah Firdaus cuba merapatkan jurang dengan pelumba di tempat ketiga K Ota dari Jepun, sebelum pecutan beliau terganggu selepas dihimpit seorang pelumba di kedudukan kelima.
Pelumba berusia 28 tahun itu akhirnya terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan 0.437 saat di belakang pendahulu M Richardson dari Australia.
Namun, tuah menyebelahi Malaysia apabila Ota dibatalkan daripada saingan tersebut kerana menghalang laluan pelumba Malaysia itu, sekali gus menyaksikan Shah Firdaus mara ke peringkat akhir, menyemarakkan lagi harapan untuk melihat pingat terakhir untuk kontinjen negara.
Pusingan akhir dijadual berlangsung pada pukul 7.23 malam waktu Malaysia.