Olimpik Paris 2024: Shah Firdaus jadi harapan terakhir kontinjen Malaysia

Bernama
Ogos 10, 2024 06:30 MYT
Shah Firdaus ketika beraksi dalam acara basikal trek keirin lelaki repechage pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome. - Foto BERNAMA
PARIS: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi talian hayat terakhir kontinjen negara dalam misi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor, itu, bakal beraksi dalam suku akhir acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines dan merupakan wakil tunggal Malaysia pada hari terakhir temasya, Ahad.
Hari ke-15 temasya menyaksikan insiden malang bagi kontinjen negara apabila sandaran emas utama negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya seawal pusingan pertama.
Pemenang pingat gangsa edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, kedua-duanya bagi acara keirin, terpaksa menamatkan kempennya kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek pada saringan pertama.
Kontinjen Malaysia kemudian terus ditimpa malang apabila Shah Firdaus, yang berlumba pada saringan kelima, disingkirkan kerana berada di garisan biru dan diberi amaran kerana memaksa pelumba lain terkeluar trek dengan memasuki laluan mereka.
Namun, beliau berjaya bangkit untuk memenangi saringan ketiga pusingan repechage untuk kembali menebus kekecewaan itu.
Bagaimanapun, pemenang dua gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lepas itu, akan berdepan cabaran sengit antaranya daripada pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Jepun Kaiya Ota.
Pusingan suku akhir dijadualkan pada 11.29 pagi Ahad (5.29 petang di Malaysia), diikuti separuh akhir sejam kemudian dan final pada 1.32 tengah hari (7.32 malam di Malaysia).
Sementara itu, pemain golf profesional negara Ashley Lau menamatkan saingan acara individu wanita di kedudukan ke-55 daripada 60 peserta di Le Golf National apabila mencatatkan lima bogey untuk menamatkan pusingan keempat dengan enam atas par 78.
Pemain berusia 24 tahun itu, berkongsi kedudukan dengan Sara Kouskova dari Republik Czech selepas kedua-dua mereka membuat pukulan keseluruhan 18 atas par 306.
Malaysia hanya meraih dua gangsa menerusi badminton, yang disumbang oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) menjelang hari terakhir temasya esok.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Muhammad Shah Firdaus Sahrom #acara keirin lelaki #Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines
;