Olimpik Paris 2024: Shah Firdaus enggan dibebani 'trauma' Tokyo 2020

Astro Arena
Ogos 6, 2024 22:45 MYT
Shah Firdaus ketika menyertai perlumbaan dalam acara Men Elite Keirin Final sempena Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023. - Foto BERNAMA
PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, enggan dibebani trauma kemalangan ngeri yang dialaminya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjelang bermulanya acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines hari ini.
Pelumba dengan gelaran The Terminator itu mahu memastikan penampilan keduanya di pentas berkenaan lebih sempurna, termasuk untuk membantu jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang, dalam acara keirin.
"Apabila saya bercakap mengenainya, ia akan membuat saya sedikit sedih apabila mengingati kejadian itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Sebab kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi perkara itu dan ia berlaku dalam temasya terbesar ini.
"Untuk kali ini, saya tidak mahu terlalu berfikir apa yang akan berlaku kerana seperti yang saya katakan, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan dan jika terlalu berjaga-jaga juga tidak boleh.
"Tetapi ini Sukan Olimpik dan saya akan beri 110 peratus dan Insya-Allah saya akan mempamerkan persembahan terbaik," katanya.
Shah Firdaus berdepan detik cemas apabila mengalami kemalangan ngeri dalam saringan kedua pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu dihimpit oleh pelumba Great Britain, Jack Carlin, sehingga terjatuh dan tidak dapat meneruskan perlumbaan yang dimulakan semula itu.
Bagaimanapun, meskipun disahkan mengalami kecederaan serius di bahagian rusuknya, Shah Firdaus memilih untuk menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.
Dan dia sekali lagi hampir terjatuh pada pertengahan perlunmbaan itu sehingga suatu ketika berada di kedudukan paling belakang.
Namun, dengan penuh keazaman, Shah Firdaus melakukan henjutan terakhir dalam kesakitan untuk menamatkan saingan itu di tempat kedua di belakang Kwesi Browne (Trinidad and Tobago), sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir. - Stadium Astro
#Shah Firdaus Sahrom #Sukan Olimpik Paris 2024 #The Terminator #kemalangan ngeri