PARIS: Sepanyol berjaya menewaskan tuan rumah, Perancis 5-3 pada masa tambahan untuk memenangi pingat emas dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik Paris.

Kemenangan ini menambah kejayaan Sepanyol yang baru sahaja memenangi kejuaraan Eropah, manakala Real Madrid pula merangkul gelaran Liga Juara-Juara sekali lagi.

Fermin Lopez dari Barcelona menjaringkan dua gol penting, sementara Sergio Camello menambah dua lagi gol dalam masa tambahan, memastikan Sepanyol memenangi emas Olimpik buat kali kedua sejak 1992.

Perancis yang menurunkan pemain berpengalaman seperti Alexandre Lacazette dan Jean-Philippe Mateta, mendahului awal permainan menerusi jaringan Enzo Millot pada minit ke-11.

Namun, Sepanyol kembali bangkit selepas Lopez menyamakan kedudukan pada minit ke-18 dan menambah gol kedua tujuh minit kemudian.

Sepakan percuma Alex Baena pada minit ke-28 menjadikan Sepanyol berada di kedudukan selesa 3-1.

Perancis berjaya merapatkan jurang menerusi Maghnes Akliouche pada minit ke-79, sebelum Mateta menyamakan kedudukan 3-3 melalui penalti pada masa kecederaan.

Pada masa tambahan, Camello menjadi wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-100, sebelum menambah satu lagi gol di penghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan Sepanyol.

-- BERNAMA