Olimpik Paris 2024: 'Sayang abang minta maaf', pembawa bendera Itali tercicir cincin kahwin
Astro Arena
Julai 28, 2024 14:45 MYT
Julai 28, 2024 14:45 MYT
PEMBAWA bendera kontinjen Itali, Gianmarco Tamberi, tercicir cincin perkahwinan ketika Upacara Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine semalam.
Atlet lompat tinggi itu terpaksa menelan kekecewaan kehilangan cincin perkahwinan ketika upacara pembukaan Sukan Olimpik di Sungai Seine.
"Saya minta maaf sayang. Saya benar-benar kesal dengan perkara yang berlaku," tulis Tamberi menerusi Instagram semalam kepada isterinya, Chiara Bontempi.
Tamberi berkata dia berasakan cincin itu tergelincir dari jarinya dan melihatnya jatuh ketika Itali menyusuri Seine.
"Saya berusaha untuk mendapatkan cincin saya semula apabila ia melantun dan jatuh ke ke dalam sungai. Jika perkara ini perlu berlaku, jika saya benar-benar terpaksa menerimanya. Saya tidak dapat membayangkan tempat yang lebih baik. Ia akan kekal selama-lamanya di dasar sungai di Kota Cinta.”
Tamberi menjadi pilihan untuk memenangi satu lagi emas di pentas Sukan Olimpik selepas bergelar juara bersama dengan atlet Qatar, Mutaz Barshim di Sukan Olimpik Tokyo.
“Mudah-mudahan ini petanda saya akan pulang dengan pingat emas,” katanya. - Stadium Astro