Olimpik Paris 2024: 'Saya tiada asas cabar keputusan' - Beasley

Sinar Harian
Ogos 10, 2024 07:00 MYT
Beasley menegaskan pihaknya tidak mempunyai asas kukuh mencabar pembatalan dikenakan terhadap jaguh berbasikal trek Azizulhasni. - Foto fail/BERNAMA
PENGARAH teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menegaskan pihaknya tidak mempunyai asas kukuh mencabar pembatalan dikenakan terhadap jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang pada saringan pertama acara keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris, pada Sabtu.
"Anda tidak boleh melepasi roda depan motosikal sebelum motosikal meninggalkan trek.
"Namun kita melepasi lebih satu kaki di depan dan saya tiada asas untuk mencabar keputusan yang dibuat," kata Beasley memberi penjelasan penyingkiran Azizulhasni kepada Astro Arena.
Sebelum itu, Azizulhasni prospek emas negara di Paris 2024 tersebut dibatalkan penyertaan selepas terlalu awal memotong derny yang bertindak sebagai pacer.
Tindakan pelumba kelahiran Dungun Terengganu berusia 36 tahun itu juga menyebabkan perlumbaan dimulakan semula yang dimenangi pelumba Australia, Matthew Glaetzer diikuti pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland kedua.
Pembatalan itu juga menyaksikan Azizulhasni pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak layak ke pusingan repechages keirin. - Sinar Harian
#Sukan Olimpik Paris 2024 #John Beasley #Azizulhasni Awang #mencabar pembatalan
;