Olimpik Paris 2024: Petinju Algeria Imane Khelif langkah ke pusingan akhir
Astro Awani
Ogos 6, 2024 07:30 MYT
Ogos 6, 2024 07:30 MYT
PARIS: Petinju wanita Algeria, Imane Khelif menempah tempat ke pusingan akhir pertarungan welterweight di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan Janjaem Suwannapheng dari Thailand.
Khelif, yang sebelum ini terpalit dalam kontroversi mengenai jantina sebenarnya, meraikan kemenangan dengan melompat di dalam gelanggang di Stadium Rolland Garros pada Selasa.
Dia mengalahkan pemenang pingat perak dunia 2023 dari Thailand itu untuk melangkah ke pusingan akhir Jumaat ini.
Penyokong yang mengibarkan bendera Algeria bersorak gembira apabila pengadil mengangkat tangan Khelif bagi mengisytiharkan dia sebagai pemenang selepas tiga pusingan.
Selepas berakhirnya perlawanan di gelanggang Philippe-Chatrier, kedua-dua petinju itu bersemuka sekali lagi bagi berjabat tangan.
Khelif, 25, sebelum ini terpalit dalam kontroversi mengenai penyertaannya dalam Sukan Olimpik Paris selepas gagal ujian testosteron.
Dia menjadi tajuk utama di seluruh dunia dan menjadi salah satu pesaing yang paling hangat diperkatakan selepas lawan wanitanya, Angela Carini, menarik diri selepas 46 saat dalam pertarungan mereka di Sukan Olimpik musim panas ini.
Khelif adalah salah seorang daripada dua atlet yang dibatalkan penyertaan daripada kejohanan dunia tahun lalu di New Delhi selepas gagal kriteria kelayakan jantina.
Kecaman terhadap penyertaannya telah datang dari jauh dan luas daripada petinju wanita kepada pejuang hak wanita.
Bapanya, Amar Khelif, dalam temu bual bersama The Mirror, menyifatkan kontroversi itu adalah sebahagian daripada 'helah' untuk menghalang anak perempuannya memenangi pingat di Sukan Olimpik.
"Serangan terhadapnya adalah tidak bermoral, ia tidak adil," katanya.