Olimpik Paris 2024: Pemenang pingat emas tidur di taman
Astro Awani
Ogos 5, 2024 11:30 MYT
Ogos 5, 2024 11:30 MYT
TIDUR di taman berlantaikan rumput sambil menyedut udara segar, barangkali lebih selesa berbanding tidur di atas katil.
Mungkin itu yang difikirkan atlet renang Itali, Thomas Ceccon, yang dilihat tidur di taman dalam Perkampungan Olimpik.
Atlet Arab Saudi, Husein Alireza memuat naik video Ceccon yang tidur nyenyak beralas tuala putih di bawah pokok, Sabtu lalu.
Ceccon, yang memenangi emas dalam acara 100m kuak lentang, sebelum ini membuat rungutan secara terbuka mengenai penginapan di Perkampungan Olimpik, selepas dia gagal mara ke final 200m kuak lentang pada Rabu.
"Tiada penghawa dingin, panas, makanannya teruk," kata Ceccon, lapor The Sun.
“Ramai atlet berpindah atas sebab in. Kami bukan sengaja beri alasan, tetapi ini realiti yang mungkin tidak semua orang tahu.
“Saya kecewa kerana saya tidak ke final. Saya terlalu letih. Sukar untuk tidur dan mendapatkan rehat. Saya bergelut dengan kepanasan dan bunyi bising,” katanya.
Pasukan Itali belum memberi sebarang reaksi berhubung perkara itu.
IOC menerima kecaman hebat susulan kekurangan penghawa dingin dan penggunaan katil cardboard di Perkampungan Olimpik, selain makanan yang tidak enak.
"Ada makanan yang tidak mencukupi, seperti telur, ayam, karbohidrat tertentu," kata Andy Anson, ketua Persatuan Olimpik British, kepada The Times of London.
Sebilangan atlet, termasuk seluruh pasukan tenis wanita Amerika Syarikat, meninggalkan penginapan di perkampungan itu dan mencari penginapan alternatif, atas alasan katil kitar semula tidak boleh memberikan tidur yang lena.