Olimpik Paris 2024: Pearly-Thinaah layak suku akhir, tewaskan pasangan Indonesia

Astro Awani
Julai 30, 2024 09:16 MYT
Beregu negara yang menduduki ranking ke-13 dunia itu menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi yang berlangsung kurang 30 minit - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan hasrat Malaysia memburu pingat selepas layak ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menang pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A hari ini.
Beregu negara yang menduduki ranking ke-13 dunia itu menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi 'wajib menang' yang berlangsung kurang 30 minit di Arena Porte de la Chapelle di kota Paris.
Dalam perlawanan penuh bertenaga, Pearly-Thinaah menang bergaya 'straight set' dengan 21-18, 21-9 ke atas pasangan yang menduduki ranking kesembilan itu, sekali gus menduduki tempat kedua peringkat kumpulan.
Dalam pertemuan sebelum ini, kedua-dua gandingan terikat 3-3 dalam enam perlawanan.
Pada 28 Julai lalu, Pearly- Thinaah menewaskan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto - Wakana Nagahara 18-21, 21-15, 21-16 pada aksi kedua peringkat kumpulan.
Ia merupakan kemunculan pertama Pearly-Thinaah di Olimpik dan kali terakhir beregu wanita negara layak ke suku akhir badminton adalah pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Beregu badminton wanita layak suku akhir #Pearly Tan-M Thinaah #Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti