Olimpik Paris 2024: Paris siap siaga keselamatan tertinggi menjelang hari pembukaan

Astro Awani
Julai 22, 2024 01:00 MYT
Perancis merangka pelan keselamatan yang sangat kukuh untuk mengadakan sambutan unik seperti ini. - Foto REUTERS
PARIS: Ketika Paris membuat persiapan terakhir untuk Sukan Olimpik Musim Panas, upacara pembukaan di sepanjang Sungai Seine pada Jumaat ini, telah mewujudkan cabaran keselamatan.
Buat pertama kalinya, upacara pembukaan sukan tidak akan diadakan di stadium, sebaliknya, berpuluh-puluh bot akan membawa beribu-ribu atlet dan penghibur dalam perarakan terapung sejauh 6 kilometer menyusuri Sungai Seine, mempamerkan keindahan dan sejarah ibu kota Perancis itu.
Lebih 300,000 orang dijangka berbaris di kedua-dua tebing sungai untuk menyaksikan majlis itu bersama 45,000 anggota polis, termasuk anggota pasukan khas elit Perancis yang terlatih dalam memerangi keganasan.
Penembak tepat akan ditempatkan di bahagian atas bangunan di sepanjang laluan dan sistem antidrone akan disediakan.
Presiden jawatankuasa penganjur Paris 2024, Tony Estanguet berkata, terdapat keseimbangan yang boleh didapati antara keselamatan tertinggi yang sememangnya menjadi keutamaan.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada objektif untuk menjamin keselamatan dan meraikan sambutan hebat sukan.
Tambah beliau, Perancis merangka pelan keselamatan yang sangat kukuh untuk mengadakan sambutan unik seperti ini.
Majlis, yang akan bermula pada jam 7.30 malam waktu tempatan, akan meraikan Paris, Perancis dan sukan serta disertai perarakan tradisional oleh atlet dengan persembahan artistik dan elemen protokol.
Orang ramai yang turun ke Paris akan merasai perbezaan dengan suasana Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo pada 2021 yang bermain dengan arena kosong dan lewat setahun daripada yang dijadualkan disebabkan oleh wabak COVID-19.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #keselamatan #upacara pembukaan #sungai seine