Olimpik Paris 2024: Nur Dhabitah ke separuh akhir 3m papan anjal

Astro Awani
Ogos 7, 2024 23:04 MYT
Dalam aksi pusingan kelayakan di pusat akuatik Saint-Dennis, Paris pada Rabu, Dhabitah (gambar) berada di kedudukan ke-12 daripada 18 penerjun yang layak selepas menamatkan lima terjunan. - Foto/REUTERS
KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir dalam acara tiga meter papan anjal.
Dalam aksi pusingan kelayakan di pusat akuatik Saint-Dennis, Paris pada Rabu, atlet berusia 25 tahun itu berada di kedudukan ke-12 daripada 18 penerjun yang layak selepas menamatkan lima terjunan.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya mengumpul 283.65 mata dengan terjunan pertama bermula dengan baik selepas dia meraih kutipan mata 67.50 pada darjah kesukaran 3.0.
Di terjunan kedua dan ketiga, kutipan mata buat Dhabitah menurun sedikit kepada 63.00 dan 54.00.
Begitu pun, Dhabitah cuba bangkit di terjunan keempat darjah kesukaran 3.0 sebelum menamatkan terjunan terakhir dengan 51.15 mata, sekali gus mengesahkan tempatnya di separuh akhir.
Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Chen Yiwen dari China mengungguli saingan dengan catatan 356.40 mata.
Sementara penerjun Australia, Keeney Maddison di tangga kedua dengan 337.5 mata diikuti Vazquez Montano Aranza dari Mexico (321.75).
Separuh akhir tiga meter papan anjal wanita dijadualkan pada pukul 4 petang Khamis waktu Malaysia, manakala pusingan akhir pada jam 9 malam.
#Nur Dhabitah Sabri #Sukan Olimpik Paris 2023
;