Olimpik Paris 2024: Misi tingkat darjah kesukaran terjunan Bertrand hampir tercapai
Bernama
Julai 2, 2024 10:00 MYT
Julai 2, 2024 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises semakin menghampiri misinya untuk menguasai kemahiran terjunan dengan darjah kesukaran 3.7 dan 3.6, dalam usaha menambat hati juri bagi acara 10 meter (m) platform lelaki di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Atlet terjun pertama negara yang layak ke Paris itu berkata, beliau telah mencapai lebih 80 peratus kemahiran terjunan dengan darjah kesukaran terbabit dan optimis kemahirannya akan bertambah baik sebelum beliau berangkat ke temasya sukan berprestij itu.
Sebelum ini, atlet berusia 19 tahun kelahiran Sarawak itu terpaksa melupakan penyertaan dua siri Piala Dunia bagi memberi tumpuan kepada peningkatan dua darjah kesukaran terjunan.
Hal itu penting bagi memastikan beliau dapat bersaing dengan penerjun-penerjun terbaik dunia, selain membantu dari segi kutipan mata.
"Sekarang ini ikutkan yang 3.6 (darjah kesukaran) dah capai 80 hingga 90 peratus jadi perlukan sedikit masa lagi. Sama juga dengan 3.7 yang sedang saya fokuskan sekarang ini jadi harap dapat capai 100 peratus juga.
"Harapan saya ia dapat bantu ketika acara itu nanti, " katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bertrand kini berada di Australia dan akan berkelana ke London minggu depan bagi meneruskan kem latihan selain cuba menyesuaikan diri dengan zon masa di sana sebelum terbang ke Paris.
Beliau dalam masa sama tidak mahu terlalu memikirkan tentang persaingan sengit yang bakal dihadapinya dan berharap segala persiapan rapi serta kemahiran menguasai darjah kesukaran terjunan tersebut dapat membantunya.
Bertrand layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10m platform selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas.
Setakat ini, seramai 25 atlet negara telah mengesahkan kelayakan ke Olimpik, manakala beberapa lagi dijangka meraih slot dalam bulan ini.
Profil:
Nama: Bertrand Rhodict Anak Lises
Asal: Sarawak
Umur: 19 tahun
Ketinggian: 168 sentimeter
Penampilan Olimpik: Kali pertama
Diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang Sukan Olimpik Paris bersama atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif
Pencapaian:
- Gangsa 10 meter (m) platform seirama Sukan Asia 2022 Hangzhou