Olimpik Paris 2024: Misi buru pingat tertangguh, Dhabitah raih tempat ke-12

Pia Ernadya
Ogos 9, 2024 21:07 MYT
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Impian untuk meraih buah tangan buat Malaysia tidak kesampaian apabila atlet terjun berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya meraih kedudukan podium dalam aksi final acara 3 meter (m) papan anjal Olimpik Paris 2024.
Dhabitah yang bersaing dengan 11 penerjun lain menamatkan saingan di tempat ke-12 pada aksi akhir di Pusat Akuatik Saint-Dennis, Paris, sebentar tadi, dengan kutipan sebanyak 244.80 mata.
Bermula dengan terjunan pertama, Dhabitah merekodkan sebanyak 63.0 mata sekali gus mengisi kedudukan ketiga.
Manakala, penambahan darjah kesukaran di terjunan kedua pula menyaksikan sedikit penurunan apabila Dhabitah mengumpul sebanyak 60.0 mata, tetapi masih konsisten dengan kedudukan di tangga ketiga.
Namun, momentum untuk dua terjunan seterusnya, iaitu ketiga dan keempat dilihat agak merudum apabila pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu mengumpul mata sebanyak 37.50 dan 28.50, meletakkannya di tangga ke-11 sebelum turun ke tangga terakhir iaitu ke-12.
Manakala pada terjunan terakhir pula, Dhabitah dilihat bangkit semula dengan meraih sebanyak 55.80 mata pada darjah kesukaran 3.1, namun tidak cukup untuk memperbaiki kedudukannya.
Penerjun China, Chen Yiwen mengungguli saingan tersebut dengan mengumpulkan sejumlah 376.00 mata, sekali gus melayaknya untuk menyarung pingat emas.
Sementara pingat perak dan gangsa pula menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney dengan mata pungutan 343.10 dan atlet China, Chang Yani, 318.75 mata.
Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.
Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, dia menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final selepas mengutip 326.15 mata.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Nur Dhabitah Sabri #terjun #misi buru pingat #papan anjal 3 meter
;