Olimpik Paris 2024: Michelle Yeoh ucap tahniah pada Lee Zii Jia, Aaron dan Wooi Yik

Astro Awani
Ogos 5, 2024 23:30 MYT
Michelle mengucapkan tahniah kepada Lee Zii Jia kerana memenangi pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki.
KUALA LUMPUR: Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh tidak ketinggalan berkongsi kegembiraan dengan pencapaian kontinjen negara khususnya skuad badminton yang meraih dua pingat gangsa dalam kejohanan Sukan Olimpik Paris 2024.
Michelle, 61, memuat naik ucapan tahniah kepada pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang melakar kecemerlangan di kejohanan sukan terbesar dunia itu.
“Tahniah Lee Zii Jia kerana memenangi (pingat) gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki. Teruskan pasukan Malaysia!” kata Michelle dalam hantaran yang didedikasikan kepada Zii Jia di akaun Instagram beliau sekitar empat jam lalu.
Zii Jia berjaya meraih pingat kedua untuk negara di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan Lakshya Sen dari India di Porte de La Chapelle Arena, malam tadi.
Beliau yang menduduki ranking ketujuh dunia, memperoleh pingat gangsa setelah menumpaskan pemain nombor 14 dunia itu menerusi kutipan mata 13-21, 21-16, 21-11.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan pada Isnin, Michelle menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang
menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
"Tahniah. Saya sangat berbangga dan gembira apabila wakil badminton Malaysia berjaya meraih pingat gangsa," kata Michelle dalam hantaran berkenaan.
Pada kedua-dua hantaran berkenaan, rata-rata pengikut Michelle dan juga rakyat Malaysia turut berkongsi kegembiraan dan kebanggaan yang sama.
Michelle yang juga wanita Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanitab Terbaik Oscar menduduki Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Michelle Yeoh #Lee Zii Jia #Aaron Chia-Soh Wooi Yik