Olimpik Paris 2024: Kontinjen Malaysia menelusuri Sungai Seine
Astro Awani
Julai 26, 2024 07:30 MYT
Julai 26, 2024 07:30 MYT
PARIS: Kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai pada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Bertrand dan Nur Shazrin turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang) di atas bot yang turut membawa delegasi dari Malawi dan Maldives itu.
Kontinjen negara tampil mempersona apabila menggayakan busana 'The Malaya' berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.
Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju melayu teluk belanga sekali gus mempersembahkan imej perpaduan dimiliki rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mata dunia.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).
Turut hadir pada majlis pembukaan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
Kontinjen Malaysia yang dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung negara di pentas Sukan Olimpik di Paris kali ini disertai 26 atlet.