Olimpik Paris 2024: Kem badminton berdepan Tembok Besar China, Vikings

Bernama
Ogos 1, 2024 07:20 MYT
Menanti juara All England 2021 itu pada suku akhir hari ini adalah pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen yang telah memenangi lima daripada lapan aksi menentang Zii Jia - Foto fail/BERNAMA
PARIS: Kem badminton Malaysia meneruskan rentak cemerlang apabila ketiga-tiga wakil negara berada di landasan tepat untuk memburu kilauan pingat selepas hari keenam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.
Namun, ketiga-tiga wakil itu berdepan cabaran lebih sengit pada Jumaat apabila berdepan halangan daripada Tembok Besar China bagi dua wakil beregu dan wakil dari Denmark (yang terkemuka dengan Vikings) bagi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki.
Aksi cemerlang di Porte de La Chapelle Arena dimulakan oleh Pearly Tan-M. Thinaah yang mengukir sejarah sebagai beregu wanita pertama negara untuk mara ke pusingan separuh akhir di pentas Olimpik.
Beregu di ranking dunia ke-12 itu menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-12, 21-13 pada aksi suku akhir, namun berdepan cabaran sengit menentang beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pagi nanti (petang di Malaysia)
Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah hanya pernah menang sekali dalam tujuh pertemuan menentang penyandang pingat perak Olimpik itu, namun berjaya memberikan saingan kepada mereka dalam aksi Kumpulan A pada Sabtu, sebelum akur tewas17-21, 20-22.
Beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pemenang gangsa di Tokyo 2020, berpeluang untuk menukar warna medal mereka apabila berjaya menyingkirkan juara Sukan Asia Hangzhou, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 21-14, 21-16.
Juara dunia 2022 itu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran beregu nombor dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 pada aksi peringkat kumpulan, Isnin lalu.
Sementara itu, Zii Jia pula berjaya mengatasi sorakan padu penyokong tuan rumah untuk menyingkirkan pilihan utama Perancis, Toma Junior Popov menerusi kemenangan straight sets 21-13, 24-22 dalam pusingan 16 baik.
Ia sekali gus memperbaiki pencapaiannya di temasya Tokyo 2020, apabila tewas kepada jaguh China, Chen Long pada pusingan 16 terbaik.
Menanti juara All England 2021 itu pada suku akhir esok adalah pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen yang telah memenangi lima daripada lapan aksi menentang Zii Jia.
Di Invalides, cabaran kem memanah negara tamat selepas wakil terakhir, Nurul Azreena Mohamad Fazil tersingkir pada pusingan penyingkiran 1/32 acara individu wanita dengan kekalahan 0-6 kepada Elif Berra Gokkir dari Turkiye.
Pemain golf profesional negara Gavin Kyle Green memulakan kempen acara lelaki dengan mencatatkan tiga atas par 74 untuk terikat di kedudukan ke-53 bersama Kiradech Aphibarnrat dari Thailand dan Nico Echavarria dari Colombia.
Sukan pelayaran yang membuka tirai hari ini di Marseille Marina menyaksikan Khairulnizam Mohd Afendy meraih tempat ke-27 daripada 43 peserta dengan 47 mata penalti selepas dua pusingan dalam acara single-handed dinghy ILCA 7 lelaki.
Bagi acara single-handed dinghy ILCA 6 wanita, Nur Shazrin Mohamad Latif menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-19 daripada 43 peserta manakala perlumbaan kedua ditunda ke esok.
Gavin, Khairulnizam dan Nur Shazrin akan meneruskan kempen mereka dalam pusingan seterusnya pada Jumaat.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #badminton #Tembok Besar China #Vikings
;