Olimpik Paris 2024: Kekejangan kaki punca Nur Aisyah tidak tamat perlumbaan

Bernama
Ogos 5, 2024 10:30 MYT
Aisyah yang membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik tidak menamatkan perlumbaan bersama 13 pelumba lain. - Foto Facebook/Majlis Sukan Negara Malaysia
PARIS: Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir terpaksa menarik diri dalam acara berbasikal jalan raya wanita Sukan Olimpik Paris 2024, susulan mengalami kekejangan pada kedua-dua belah kakinya, semalam.
Nur Aisyah berkata, terdahulu beliau cuba mengelak daripada kemalangan pada kira-kira 90 kilometer (km) sebelum ketinggalan di belakang peloton dengan cubaan berjuang kembali menyertai kumpulan itu tersekat susulan kekejangan dialami.
Berikutan keadaan itu, Nur Aisyah diklasifikasikan sebagai Did Not Finish (DNF) oleh laman sesawang olympics.com/en/paris-2024 bersama-sama 13 pelumba lain.
"Pada kira-kira 90 km, berlaku kemalangan berhampiran dengan saya dan saya terpaksa membrek untuk mengelaknya, yang menyebabkan saya kehilangan rentak.
"Ia berlaku sebelum pendakian paling curam dalam perlumbaan dan terdapat banyak serangan pada masa itu. Saya mencuba sebaik mungkin mengejar semula kumpulan tersebut. Namun, saya mengalami kekejangan, mula-mula kaki kiri dan kemudian kaki kanan," katanya kepada pemberita.
Perlumbaan yang bermula dan berakhir di jambatan Pont d'Iena di Trocadero itu menampilkan laluan berbatu, pendakian setinggi kira-kira 1,700 meter (m) serta bahagian sempit dan teknikal yang mencabar menuju ke garisan penamat.
Perlumbaan sejauh 158km itu menyaksikan pelumba Amerika Syarikat Kristen Faulkner membawa pulang pingat emas dengan catatan 3:59:23 saat (s), manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).
Nur Aisyah mencipta sejarah muncul pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia pertama beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024.
- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #pelumba negara #Nur Aisyah Mohamad Zubir #Nur Aisyah tarik diri
;