Olimpik Paris 2024: Jin Wei pamer aksi cemerlang, terpaksa akur tidak ke pusingan 16 terakhir

Astro Awani
Julai 31, 2024 15:47 MYT
Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei beraksi menentang pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada 29 Julai. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas bertungkus-lumus dalam aksi terakhir Kumpulan H, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa akur apabila tewas kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun, sebentar tadi.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan pemain ranking ke-33 dunia itu tidak layak ke pusingan 16 terakhir bagi acara perseorangan dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam aksi penuh mendebarkan itu, bekas juara remaja dunia itu tidak berjaya menundukkan Ga Eun dalam saingan 'rubber set' selepas ia berpihak kepada pemain ranking ke-17 dunia itu dengan kemenangan 21-17, 20-22, 23-21.
Jin Wei mempamerkan aksi cukup cemerlang dalam perlawanan tersebut meskipun ia tidak menyebelahi pemain profesional negara untuk meneruskan misi memburu pingat di pentas Olimpik.
Keputusan itu menyaksikan Ga Eun muncul juara kumpulan mengatasi Jin Wei yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara.
Hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan layak ke pusingan 16 terakhir.
Pada 29 Julai lalu, Jin Wei yang tampil kali pertama di pentas Olimpik bergelut di set pertama sebelum mencatat kemenangan ke atas juara Sukan Afrika dua kali, Johanita Scholtz 23-21, 21-11 di Porte de la Chapelle Arena.
Berdasarkan rekod, Jin Wei hanya menang sekali dalam tiga perlawanan menentang Ga Eun manakala perlawanan terakhir antara mereka di Terbuka Korea 2022 memihak kepada pemain tuan rumah.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Goh Jin Wei tewas
;