Olimpik Paris 2024: "Jangan mengeluh prestasi kontinjen negara" - PM Anwar
Hasimi Muhamad
Ogos 12, 2024 11:52 MYT
Ogos 12, 2024 11:52 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia dan peminat sukan agar tidak mengeluh dengan prestasi kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024, yang telah melabuhkan tirai pada awal pagi Isnin.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan menyiapkan kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara sebagai persediaan ke acara antarabangsa kelak.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan anak-anak yang terbabit dalam sukan Olimpik. Mereka berusaha sebaik mungkin. Kita menerima baik keputusan dengan harapan Insya-Allah untuk masa depan kita akan siap beberapa kerangka baharu.
"Ini untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara. Jadi harus kita tumpu ke depan, tetapi sementara itu janganlah kita mengeluh kerana anak-anak dan olahragawan itu telah berusaha sedaya upaya mereka.
"(Mereka telah melakukan) pengorbanan yang lama," kata Perdana Menteri selepas merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, di ibu negara, hari ini.
Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.