Olimpik Paris 2024: Hannah minta maaf, buruan emas diteruskan di Los Angeles

Ridauddin Daud
Ogos 13, 2024 11:57 MYT
Menurut Hannah, meskipun tiada emas namun prestasi atlet menunjukkan peningkatan dengan tiga rekod kebangsaan dipecahkan dalam temasya kali ini. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana negara tidak berjaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, meskipun tiada emas namun prestasi atlet menunjukkan peningkatan dengan tiga rekod kebangsaan dipecahkan dalam temasya kali ini.
Tambahnya, selepas ini Kementerian Belia dan Sukan akan bermesyuarat dan segala laporan, termasuk laporan audit akan dibentangkan pada Sidang Parlimen.
“Kita meminta maaf kerana kita belum berjaya. Saya tidak guna perkataan gagal kerana penubuhan Road To Gold (RTG) adalah untuk Sukan Olimpik di Paris dan juga Los Angeles pada 2028.
“Kita letakkan sasaran untuk dapatkan emas dalam dua Sukan Olimpik ini.
“Seperti kita nyatakan sebelum ini, kita akan terus memberikan sokongan kepada atlet dan jurulatih kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Selasa.
Dalam pada itu, ketika mengulas perjalanan karier The Pocket Rocketman sama ada bersara atau tidak selepas ini, Hannah berkata beliau sudah meminta Datuk Azizulhasni Awang untuk mengambil masa dan mengadakan perbincangan dengan keluarga.
“Saya minta beliau ambil masa dan bincang dengan keluarga terlebih dahulu. Jawatankuasa Road To Gold akan tunggu keputusan beliau.
“Sekiranya beliau mahu bertanding dan badan beliau bersedia, kita akan berikan sokongan. Tetapi buat masa ini, biarlah beliau bincang dengan keluarga terlebih dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley mahu semua pihak untuk memberi masa kepada program RTG.
“Program ini baru ditubuhkan pada Mac tahun lepas. Program ini masih lagi baharu namun ada potensi.
“Bagi saya, program ini harus diteruskan, bukan setakat di Los Angeles pada 2028 tetapi juga di Sukan Olimpik di Brisbane pada 2032,” tegasnya.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Road to Gold #pingat emas #rekod kebangsaan