Olimpik Paris 2024: Gimnas AS Simone Biles raih emas all-around
Bernama
Ogos 2, 2024 09:40 MYT
Ogos 2, 2024 09:40 MYT
ISTANBUL: Gimnas artistik Amerika Syarikat (AS) Simone Biles memenangi pingat emas Olimpik sekali gus juara all-around tertua sejak 1952, lapor Agensi Anadolu (AA).
Gimnas berusia 27 tahun itu mengalahkan Rebeca Andrade dari Brazil yang berada di tempat kedua dan rakan sepasukannya, Sunisa Lee yang meraih tempat ketiga.
"Biles sekali lagi memukau, memperoleh mata keseluruhan 59.131 dalam all-around, mengatasi Andrade (57.932). Juara Tokyo 2020, Suni Lee pula meraih gangsa dengan markah 56.465," menurut kenyataan Sukan Olimpik.
Biles meraih gelaran terbesar dalam kategori wanita sukan itu sejak gimnas Soviet berusia 30 tahun ketika itu, Maria Gorokhovskaya, memenangi all-around Olimpik pertama di Melbourne pada 1952.
Biles juga memecahkan rekod 120 tahun untuk menjadi satu-satunya gimnas AS yang memenangi enam pingat emas Olimpik.
-- BERNAMA