Olimpik Paris 2024: FIFA potong 6 mata, denda Kanada guna dron intai lawan

Astro Arena
Julai 28, 2024 04:30 MYT
Kanada telah ditolak enam mata manakala tiga jurulatih telah digantung selama setahun. - Gambar/ Stadium Astro
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat keputusan mengenai skandal pengintipan dron di Sukan Olimpik Paris.
Kanada telah ditolak enam mata manakala tiga jurulatih telah digantung selama setahun.
Persekutuan bola sepak Kanada juga didenda sebanyak ASD383,855 (RM1.8 juta).
Ketua jurulatih, Beverley Priestman, adalah antara jurulatih yang digantung selama setahun.
FIFA mendapati Priestman dan dua pembantunya 'masing-masing didapati bertanggungjawab atas tingkah laku yang menyinggung perasaan dan pelanggaran prinsip permainan adil'.
Kanada adalah juara bola sepak wanita Sukan Olimpik selepas memenangi emas di Tokyo 2020. Selepas skandal itu, Kanada menewaskan Football Ferns 2-1 dalam pembukaan kejohanan mereka pada pagi Jumaat.
Jawatankuasa Olimpik New Zealand membuat aduan selepas kakitangan skuad Kanada didapati menerbangkan dron bagi meninjau sesi latihan sebelum perlawanan mereka pada 22 Julai.
Kejadian selanjutnya juga didapati berlaku pada 19 Julai ketika pasukan bola sepak wanita New Zealand sedang menjalani latihan di St Etienne. Pasukan Kanada segera mengakui tanggungjawab untuk dron itu dan mengeluarkan kenyataan memohon maaf.
“Jawatankuasa Olimpik Kanada bermaksud fair-play dan kami terkejut dan kecewa. Kami memohon maaf seikhlas hati kepada Bola Sepak New Zealand, kepada semua pemain yang terjejas, dan kepada Jawatankuasa Olimpik New Zealand,” tulis COC dalam satu kenyataan. - Stadium Astro
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Kanada #intai guna dron #FIFA