Olimpik Paris 2024: Azizulhasni, Shah Firdaus, Dhabitah tiba di Malaysia esok

Astro Awani
Ogos 12, 2024 08:44 MYT
Mereka yang akan tiba esok antaranya adalah Azizulhasni, Shah Firdaus dan Dhabitah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kumpulan atlet bersama jurulatih serta pegawai Malaysia yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 dijangka tiba di tanah air secara berasingan seawal pagi esok.
Mereka antaranya adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang dijadual tiba dari Doha sekitar pukul 3.25 petang Selasa.
Berdasarkan jadual penerbangan yang dilihat Astro AWANI, turut tiba dengan penerbangan sama antaranya adalah Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley dan Pengurus Pasukan, Mohd Izham Mohamad.
Selain itu, penerbangan bagi skuad terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, Bertrand Rhodict Lises dan jurulatih Nor Aznizal Najib pula dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga dari Doha pada pukul 2.45 petang, Selasa.
Dalam pada itu, pemain golf negara Ashley Lau Jen Wen dijadual tiba di Malaysia kira-kira pukul 12.10 tengah hari.
Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Azizulhasni Awang #Shah Firdaus mara ke final #atlet Olimpik Paris 2024