Olimpik Paris 2024: Atlet Korea Utara belum terima telefon pintar

Astro Arena
Ogos 9, 2024 07:45 MYT
Samsung yang menjadi penaja utama IOC telah menyediakan sebanyak 10,500 unit telefon pintar kepada setiap peserta untuk dibawa pulang. - Gambar/ Stadium Astro
Seramai 14 atlet Korea Utara belum menerima telefon pintar Samsung penaja Olimpik yang sepatutnya diberikan percuma kepada semua atlet Sukan Olimpik Paris 2024, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Syarikat elektronik Korea Selatan itu yang menjadi penaja utama IOC telah menyediakan sebanyak 10,500 unit telefon pintar kepada setiap peserta untuk dibawa pulang.
"Kami boleh mengesahkan bahawa atlet Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan DPRK belum menerima telefon Samsung," kata jurucakap IOC.
Terdahulu, Kementerian Luar Korea Utara mengundang perhatian apabila membangkitkan isu sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas mereka.
Secara rasmi dikenali sebagai Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Korea Utara berada di bawah sekatan PBB sejak 2006 berhubung program peluru berpandu balistik serta nuklear yang dibangunkan, dan situasi itu semakin meruncing termasuk sekatan banyak produk yang melibatkan baik orang awam mahupun tentera. - Stadium Astro
#Sukan Olimpik Paris 2024 #telefon pintar #atlet Korea Utara