Olimpik Paris 2024: Atlet IPT diharap sumbang emas pertama - Mustapha

Bernama
Julai 27, 2024 20:15 MYT
Mustapha berkata kementeriannya akan menyalurkan insentif tambahan kepada mana-mana atlet IPT yang berjaya mengharumkan nama Malaysia. - Foto fail/BERNAMA
KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap ada antara lapan atlet Sukan Olimpik 2024 yang juga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menghadiahkan emas pertama negara di pentas temasya sukan berprestij itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata kementeriannya akan menyalurkan insentif tambahan kepada mana-mana atlet IPT yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.
"Kita harapkan atlet-atlet ini, terutama daripada IPT ini akan menyumbang emas pertama negara dan kita doakan agar mereka dapat mengekalkan tahap kesihatan dan kecerdasan seterusnya membawa pulang pingat emas Olimpik negara pada kali ini.
"Memang ada insentif daripada pihak kerajaan dan kementerian pun kita akan memang bagi insentif tambahan jika mereka dapat emas... nilai insentif itu akan diumumkan menteri (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan program Jejak TVET MADANI di sini pada Sabtu.
Lapan atlet terbabit ialah Mohd Aniq Kasdan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi acara angkat berat; Nurul Izzah Izzati Mohd Asri daripada Universiti Malaya dalam acara berbasikal trek serta trio memanah recurve iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (German-Malaysian Institute), Syaqiera Mashayik (Universiti Putra Malaysia) dan Nurul Azreena Mohamad Fazil (UiTM).
Selain itu, Khiew Hoe Yen daripada UCSI melibatkan acara renang, pelajar UKM Nur Dhabitah Sabri dalam acara terjun dan Muhamad Azeem Mohd Fahmi (Auburn University).
Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung hingga 11 Ogos.
-- BERNAMA
#atlet IPT #Institusi Pengajian Tinggi #Mustapha Sakmud #Sukan Olimpik Paris 2024