Olimpik Paris 2024: Atlet Britain menang emas acara speed climbing boulder, lead
Bernama
Ogos 9, 2024 05:10 MYT
Ogos 9, 2024 05:10 MYT
PARIS: Toby Roberts dari Britain mencipta kejutan apabila merangkul emas sulung dalam final speed climbing boulder dan lead lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beliau mencatatkan markah ketiga terbaik dengan 63.1 mata untuk boulder dan juga menduduki tempat ketiga dalam markah lead dengan 92.1 mata, menjadikan remaja berusia 19 tahun itu berjaya merangkul emas keseluruhan dengan 155.2 mata.
Roberts menjadi pemanjat lelaki pertama dari Britain yang layak ke Sukan Olimpik di Paris, selepas sukan memanjat membuat penampilan sulung di Tokyo tiga tahun lalu. Beliau hanya mula menceburi sukan memanjat itu selepas melihatnya disenaraikan sebagai aktiviti selepas sekolah.
Sorato Anraku dari Jepun mencatatkan markah terbaik dalam boulder tetapi mengalami kesukaran dalam lead dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Wakil Austria Jakob Schubert, Juara Dunia 2023 memenangi pingat gangsa, sama seperti yang diperolehnya dalam acara gabungan di Sukan Olimpik Tokyo lepas, satu-satunya acara sukan memanjat lelaki yang dipertandingkan di Tokyo.
-- BERNAMA