Olimpik Paris 2024: Anggota kontinjen negara ambil langkah waspada

Astro Arena
Julai 29, 2024 01:50 MYT
Bot yang membawa para atlet dan pegawai kontinjen negara ketika perarakan masuk pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine, Paris, 27 Julai. -- fotoBERNA
KETUA kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi jaminan keselamatan setiap anggota kontinjen negara diutamakan sepanjang cabaran memburu emas di Perancis.
Menerusi satu siaran rasmi di laman media sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM), beliau menjelaskan bahawa dalam kekalutan negara tuan rumah mendepani ancaman keselamatan dari pelbagai sudut, Sekretariat Kontinjen dalam Perkampungan Atlet di St Ouen-sur-Seine sentiasa mengemas kini maklumat keselamatan daripada pusat khidmat NOC.
Selain itu, ia mendapat nasihat dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Paris berhubung langkah berjaga-jaga di sekitar lokasi strategik dan venue pertandingan serta latihan.
“Sebagai ketua kontinjen Malaysia, saya mengingatkan Sekretariat untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini berhubung langkah-langkah berjaga yang dilaksanakan oleh pihak penganjur. Maklumat yang dikumpul adalah penting untuk pengurusan keselamatan kontinjen yang teratur dan terjamin.
“Di pihak kami, kami menasihatkan agar semua atlet dan jurulatih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang termaktub dari segi penggunaan pengangkutan, pergerakan dalam dan di luar perkampungan sukan serta sekitar venue latihan dan pertandingan.
“Walaupun pihak keselamatan Perancis mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengepung dan menutup laluan sekitar venue pertandingan daripada dilalui kenderaan serta menutup beberapa laluan pejalan kaki di stesen-stesen keretapi bawah tanah Metro, saya menasihatkan agar setiap anggota kontinjen sama ada atlet, jurulatih dan pegawai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan hadkan pergerakan mereka.”
Hamidin mengulas laporan media bahawa pusat media utama (MPC) di Palais de Congres di tengah kota Paris ditutup sementara apabila pihak keselamatan Perancis menerima ancaman bom.
Selain 26 atlet dan 40 pegawai yang membentuk kontinjen Malaysia, seramai 25 pengamal media terdiri daripada petugas agensi berita nasional, stesen televisyen yang juga pemegang hak siaran serta petugas media kontinjen dan organisasi berita antarabangsa sedang bertugas di Paris.
“Kami juga maklum senarai anggota media yang menginap di tujuh hotel berbeza dan mereka turut mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengemas kini maklumat penganjuran menerusi pelbagai aplikasi dan laman web rasmi Paris 2024 setiap kali mereka keluar membuat liputan.
“Pada masa sama, kami mengharapkan agar rakyat Malaysia sentiasa menghulurkan doa buat kontinjen negara dan semua pemegang taruh yang berada di Paris agar kami diselamatkan daripada sebarang bencana serta membawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” kata Hamidin.
#Hamidin Mohd Amin #Sukan Olimpik Paris 2024 #keselamatan #kontinjen malaysia