Olimpik Paris 2024: Air mata Azizulhasni gugur di KLIA
Ridauddin Daud
Ogos 13, 2024 20:53 MYT
Ogos 13, 2024 20:53 MYT
SEPANG: Tubuhnya kecil, semangatnya besar namun kerana negara, air matanya gugur juga, tidak langsung dapat ditahan.
Sebelum ini, rakyat hanya membaca respons beliau dalam media sosial susulan penyertaannya dibatalkan dalam acara Keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Hari ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terserlah segala sedih, pedih dan perit yang terbuku di hati atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Menceritakan semula detik sedih itu, The Pocket Rocketman menegaskan beliau boleh menerima andainya kalah ketika berjuang di atas trek.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila penyertaannya dibatalkan, langsung tidak dapat memperagakan aksi dalam acara kegemarannya itu.
“Biasanya dalam perlumbaan, bila saya kalah tapi dapat ekspresikan kayuhan, itu saya boleh terima. Tapi ini saya tak dapat buat apa-apa.
“Saya memang tak tahulah perasaan tu nak cakap macam mana. Kalau kita sebagai atlet elit ni… kita makan, tidur, kita hidup, memang untuk sukan, buat untuk negara.
“Saya sendiri pun, saya letakkan keluarga nombor dua, apa-apa, memang sukan dulu. Cuti pun saya masih training. Saya fikir, ini untuk Olimpik,” katanya yang sebak ketika mengimbau semula insiden tersebut.
Jelasnya, sehingga ke saat ini, beliau masih ‘tidak boleh hadam’ dengan apa berlaku
Beliau juga memohon semua pihak memberikannya lebih banyak masa untuk bertenang dan merehatkan mentalnya.
“Semangat saya berkobar-kobar untuk berlumba tapi sayang benda macam itu berlaku dan saya ‘speechless’, tak tahu nak hadam, nak terima.
“Sekarang ini pun saya tak dapat hadam sepenuhnya apa berlaku. Bagi saya, ini satu pengakhiran yang bukan saya nak.
“Tapi sebagai seorang Muslim, saya harus berdamai dengan takdir,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau benar-benar mahu bersara, The Pocket Rocketman menegaskan beliau memerlukan masa buat masa sekarang.
Begitupun katanya, sekiranya Malaysia memerlukan beliau atau rakan-rakan atlet basikal mahukan ‘sparring partner’, beliau sedia untuk memberikan bantuan.
“Keluarga saya dah minta saya berhenti sebenarnya (selepas menghidap penyakit jantung). Saya janji satu lagi Olimpik, nak buat untuk negara.
“Tapi saya pun terkilan dengan apa yang berlaku, tapi buat masa ini, saya perlukan masa,” katanya.