Olimpik Paris 2024: Aaron-Wooi Yik hadapi laluan berliku di suku akhir

Bernama
Julai 31, 2024 05:45 MYT
Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal mengharungi laluan berliku di pentas suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila diundi menentang jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, hari ini. - Foto BERNAMA
PARIS: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal mengharungi laluan berliku di pentas suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila diundi menentang jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, hari ini.
Meskipun memiliki rekod lapan kemenangan ke atas beregu nombor lima dunia dalam 11 pertemuan sebelum ini, namun, wakil India itu berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik dengan straight sets pada tiga pertemuan terakhir iaitu di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Terbuka India Januari lalu.
Sekiranya mampu melepasi halangan hari ini, Aaron-Wooi Yik bakal mengharungi satu lagi cabaran sengit menentang pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Beregu China itu diundi menentang gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto bagi pusingan suku akhir.
Sementara itu, juara bertahan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan akan bertemu wakil Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren manakala beregu nombor dua dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark mencabar juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Kumpulan A di belakang beregu nombor satu dunia Wei Keng-Chang yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 pada Selasa.
Sebelum itu beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.
- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #beregu lelaki negara #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #badminton
;