Olimpik Musim Sejuk Beijing terus beri manfaat sosial dan ekonomi - IOC
Bernama
Februari 3, 2023 11:30 MYT
Februari 3, 2023 11:30 MYT
BEIJING: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu menerbitkan artikel yang memberikan penilaian positif terhadap pencapaian penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing serta kesannya terhadap sosial dan ekonomi.
Menurut IOC, meskipun sudah hampir setahun berlalu sejak temasya sukan itu berakhir, namun semua gelanggang untuk temasya itu masih dibuka untuk kegunaan orang awam dan atlet sukan tempatan.
"Temasya sukan yang berjaya menarik penglibatan kira-kira 346 juta orang China itu membolehkan industri sukan musim sejuk di China berkembang pesat sekali gus memberi faedah sosial dan ekonomi yang luas serta mampan kepada rakyat China," menurut IOC.
Pada masa sama, Institut Pengajian Pelancongan China meramalkan bahawa industri pelancongan musim sejuk China dijangka berupaya menarik ketibaan lebih 520 juta pelancong sekali gus menjana pendapatan sebanyak RMB720 bilion (RM455 bilion) sepanjang musim sejuk pada tahun 2024 hingga 2025.
Untuk rekod, susulan penularan wabak COVID-19, orang ramai hanya dapat menonton pertandingan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing secara jauh.
Namun, dengan adanya teknologi canggih dan inovasi teknologi digital, seramai 2.01 bilion orang dapat menonton sukan itu melalui televisyen dan platform digital, ia secara tidak langsung meningkatkan jumlah penonton sebanyak lima peratus berbanding penonton yang menyaksikan Olimpik Musim Sejuk 2018.
Pengarah Eksekutif IOC, Christophe Dubi berkata temasya sukan Beijing telah membawa faedah kepada rakyat China dan penggunaan teknologi inovatif dapat meminimumkan kesan Sukan Olimpik terhadap persekitaran.
"Misalnya, penggunaan kenderaan jimat tenaga dalam temasya sukan Beijing sebanyak 85 peratus dan sistem penyejukan karbon dioksida yang digunakan pertama kali dalam Sukan Olimpik dengan teknologi pengurangan pelepasan karbon telah membuat pelepasan di gelanggang berkenaan hampir sifar," katanya.
Daripada 2,834 atlet yang beraksi 45.4 peratus daripadanya merupakan atlet wanita dan kadar itu adalah yang tertinggi berbanding Olimpik Musim Sejuk sebelum ini.
Selain itu, sebanyak 46 kategori acara yang membabitkan atlet wanita juga adalah yang tertinggi dalam sejarah penganjuran sukan berkenaan.
-- BERNAMA