Olimpik Musim Sejuk 2022: Aruwin pamer aksi cemerlang
Astro Awani
Februari 8, 2022 14:26 MYT
Februari 8, 2022 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Peluncur ais Negara, Aruwin Salehhuddin meraih keputusan membanggakan dalam penampilan sulung pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 apabila menamatkan saingan giant slalom dengan cemerlang untuk menduduki tangga ke-38 keseluruhan di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing hari ini.
Melepasi pusingan awal (Run 1) pada sebelah pagi, Aruwin memberi persembahan sempurna di pusingan penentuan pingat (Run 2) tanpa kesilapan dan terjatuh ketika melalui semua pagar dengan catatan masa 1 minit, 6.15 saat.
Jumlah masa keseluruhan yang dicatat atlet berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu ialah 2:12.28s iaitu 16.59s di belakang pemenang pingat emas Sara Hector dari Sweden (1:55.69s).
Pencapaian yang ditunjukkan remaja yang berusia 17 tahun itu amat memberangsangkan kerana dia beraksi lebih konsisten dibandingkan beberapa atlet lain, sama ada yang mencatat masa lebih perlahan atau gagal menamatkan perlumbaan.
Hanya 60 peserta beraksi di Run 2 dengan 10 daripada mereka gagal menamatkan saingan dengan sempurna.
Sementara wakil Amerika Syarikat, Nina O’Brien dibatalkan penyertaan walaupun mencatat masa keenam terpantas pada Run 1.
Perak dalam acara berkenaan diraih Federica Brignone dari Itali (1:55.97s), sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih di Pyeongchang, Korea Selatan pada 2018.
Pada sebelah pagi Aruwin yang merupakan atlet wanita Malaysia pertama layak ke Olimpik Musim Sejuk berjaya mara ke Run 2 selepas mencatat masa ke-46 terpantas daripada 82 peserta yang mengambil bahagian dengan merakam masa 1:6.13 saat.
Berakhir sudah ujian pertama Aruwin yang dibimbing jurulatih dari Croatia, Mladen Bezjak, dia akan turun sekali lagi dalam saingan slalom wanita termasuk wakil negara jeffrey Webb untuk slalom lelaki, Rabu ini.