Olimpik: Minta maaf, Malaysia - Lee Chong Wei
Madiha Abdullah
Julai 23, 2021 22:15 MYT
Julai 23, 2021 22:15 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menghadiahkan pingat emas Olimpik sepanjang kerjayanya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Chong Wei berkata, beliau sudah melakukan semua yang terdaya bagi memenangi emas sulung Olimpik buat negara.
Namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila kecundang di tiga pentas final, iaitu 2008 di Beijing, 2012 di London dan 2016 di Rio de Janeiro.
Chong Wei mula memasang tekad untuk meraih emas selepas melihat rakan baiknya dari Indonesia, Taufik Hidayat yang bermati-matian berjuang untuk muncul juara pada Olimpik Greece 2004.
"Saya mahu pingat emas Olimpik. Saya mahu bendera Malaysia dikibarkan. Saya mahu sangat lagu Negaraku berkumandang di pentas Olimpik.
"Setiap hari 'training' mati-matian. Bangun paling awal, balik paling lambat. Arak tak pernah sentuh. Rokok pantang dicuba. Makan pun jaga," katanya.
Tetapi pingat emas yang diimpikan tetap tidak kesampaian apabila dalam percubaan ketiga di Rio pada 2016, beliau tewas di tangan pemain China, Chen Long.
"Minta maaf Malaysia. Sangat-sangat minta maaf. Tidak terdaya membawa balik pingat rahmat itu untuk rakyat Malaysia," tulisnya.
Chong Wei yang mengumumkan persaraan pada 2019, merupakan Ketua Kontinjen negara ke Olimpik dan sepatutnya turut sama ke Jepun namun terpaksa membatalkannya atas nasihat doktor.
Kepada atlet negara yang memulakan misi Olimpik hari ini, Chong Wei menitipkan pesan agar melakukan yang terbaik demi Malaysia.
"Anda harus berbangga dengan diri anda kerana berjaya beraksi di sana. Berikanlah yang terbaik, Ingat semua kerja keras yang anda lalui untuk mencapai kejayaan ini.
"Buat yang terbaik, untuk anda, keluarga, negara dan semua rakyat di negara ini untuk rakyat Malaysia," katanya.