Olimpik 2024: Tahap kesedaran doping tinggi dalam kalangan atlet ke Paris - Adam Adli

Bernama
Julai 21, 2024 21:14 MYT
Adam Adli berkata, MSN dan ISN sentiasa memastikan 26 atlet negara ke temasya sukan itu bebas daripada penggunaan bahan larangan sehingga gagal ujian doping. - Bernama
IPOH: Atlet kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 memiliki tahap kesedaran tinggi dan sentiasa peka dalam pengambilan makanan tambahan agar tidak berpalit dengan isu doping pada temasya sukan itu bermula 26 Julai ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memastikan 26 atlet negara ke temasya sukan itu bebas daripada penggunaan bahan larangan sehingga gagal ujian doping.
"Selain itu, agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sentiasa berusaha untuk memastikan kesemua atlet kita yang akan ke Paris bebas daripada 'pencemaran' kes doping," katanya pada sidang media selepas program Jumpa Orang Muda (JOM) di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Meru di sini hari ini.
Menurutnya MSN dan ISN akan sentiasa memantau pengambilan makanan tambahan atau makanan terutama dari luar oleh atlet negara sepanjang keberadaan mereka di Paris.
"Setakat ini kita tak ada masalah berdepan dengan isu doping dan memang kita laksanakan banyak langkah-langkah yang diperlukan sebelum mereka berlepas ke Paris," katanya.
-- BERNAMA
#atlet negara #olimpik paris #doping #MSN #ISN #Adam Adli
;