Olimpik 2024: Mampukah Pearly-Thinaah cipta 'kemanisan' di Paris?

Bernama
Julai 17, 2024 02:10 MYT
Penganalisis berpendapat Pearly-Thinaah masih mencari rentak kecemerlangan dipamerkan mereka tahun lepas. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kemunculan gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang mula digandingkan pada 2019 telah memberikan nafas baharu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kategori wanita.
Selepas dua tahun bergandingan, Pearly-Thinaah mula menampakkan taring mereka apabila melakar sejarah tersendiri muncul juara Terbuka Switzerland 2021 selepas mengejutkan pilihan ketiga kejohanan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.
Sambil meneruskan momentum kecemerlangan itu, beregu wanita utama negara itu berada dalam senarai penyumbang pingat kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Birmingham 2022 apabila meraih emas, menjinakkan gandingan England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8.
Rentak kemenangan diteruskan dengan kejayaan di Terbuka Perancis pada 2022, yang merupakan pencapaian terbaik bagi negara selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara pada 2008.
Pearly-Thinaah juga pernah menempuhi rali panjang sebanyak 211 pukulan pada aksi suku akhir Masters Malaysia 2023, namun terpaksa berpuas dengan pingat perak pada kejohanan sama serta Terbuka Hong Kong 2023.
Ketika itu, Pearly mengakui beberapa rintangan termasuk kecederaan selain jatuh sakit menjejaskan prestasinya di gelanggang seperti kecederaan belakang yang memaksa mereka menarik dari daripada tiga kejohanan di Eropah pada 2023 bermula dengan Terbuka Arctic di Finland, diikuti Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.
Sekembalinya Pearly ke pentas pertandingan, BAM menyediakan perancangan buat gandingan di ranking ke-13 dunia itu dengan menghantar mereka menyertai sembilan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan kali terakhir Terbuka Indonesia 2024, menyaksikan pasangan itu terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 20-22, 18-21.
Mereka turut diberi perhatian khusus dengan kehadiran rakan sepelatih dibawa khas dari Indonesia bermula Februari lepas, selain tidak diturunkan pada saingan Piala Uber 2024 bagi memberi fokus kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pearly-Thinaah turut disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bermula April tahun lepas bagi mempersiapkan mereka dalam misi memburu emas sulung di temasya empat tahun sekali itu.
Melihat kepada persiapan serta kemudahan yang disediakan buat gandingan wanita negara ini, sudah pasti ramai menantikan penampilan lebih gah Pearly-Thinaah di venue badminton the Porte de la Chapelle Arena di Paris apabila badminton membuka tirai pada 27 Julai ini.
Dua penganalis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli dan Mohd Sadek Mustafa berpendapat sukar buat Pearly-Thinaah menjayakan misi emas pertama Malaysia pada penampilan sulung mereka kerana beberapa faktor 'menganggu' kemaraan pasangan negara itu.
Pekan berkata prestasi semasa yang tidak menentu beregu wanita utama negara itu dengan corak permainan mudah dibaca lawan, menjadi antara kekangan atau kesulitan buat Pearly-Thinaah untuk melangkah lebih jauh di pentas besar berkenaan.
"Secara peribadi saya katakan peluang Pearly-Thinaah di Paris sangat sukar. Pada kedudukan ranking sekarang gandingan itu berdepan laluan sukar di pusingan awal (dan) terus terang katakan kita tidak perlu meletakkan harapan tinggi pada gandingan ini.
"Corak permainan bertahan baik tetapi mengambil masa panjang mendapatkan mata. Ibarat lebih banyak 'bersilat tetapi tidak dapat menikam musuh'," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Sadek pula berkata Pearly-Thinaah masih mencari rentak kecemerlangan dipamerkan mereka tahun lepas selain faktor terlalu dipuji dan diraikan setiap kali beroleh kejayaan menjadi 'racun' buat mereka mencari identiti tersendiri.
Namun ia hanyalah ramalan awal penganalisis negara kerana pada akhirnya ia bergantung kepada nasib seseorang itu bak kata pepatah 'tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu'.
Pada saingan di Paris 2024, Pearly-Thinaah jelas berada dalam laluan berliku apabila diundi dalam Kumpulan A bersama lawan di ranking lebih tinggi iaitu Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia (ranking kesembilan), pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan (nombor satu dunia) daan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun (ranking keenam).
Profil:
Pearly Tan
-----------------
Umur: 24 tahun
Tarikh lahir: 14 Mac 2000
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
M. Thinaah
-----------------
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 3 Jan 1998
Tempat lahir: Klang, Selangor
Sebagai gandingan
--------------------------
Ranking semasa: ke-13 dunia
Pencapaian:
Emas Terbuka Switzerland 2021
Emas beregu wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022
Emas Terbuka Perancis 2022
Perak Malaysia Masters 2023
Perak Terbuka Hong Kong 2023
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Pearly Tan-M Thinaah #BAM #pingat emas