Olimpik 2024: IOC mohon maaf Korea Selatan dilabelkan Korea Utara pada majlis pembukaan
Bernama
Julai 27, 2024 19:15 MYT
Julai 27, 2024 19:15 MYT
PARIS/SEOUL: Penganjur Sukan Olimpik Paris memohon maaf kepada Korea Selatan selepas delegasi mereka dilabelkan sebagai Republik Rakyat Demokratik Korea dalam siaran televisyen semasa majlis pembukaan temasya sukan itu pada Jumaat di Sungai Seine, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Republik Rakyat Demokratik Korea adalah nama rasmi Korea Utara. Kedua-dua Korea telah terpisah sejak Perang Korea (1950-53). Kedua-dua negara dipisahkan oleh zon bebas tentera dan perjanjian damai bersama tidak pernah ditandatangani.
"Kami memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dalam memperkenalkan atlet Korea semasa siaran majlis pembukaan," kata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di akaun X Korea Selatan pada Sabtu.
Korea Selatan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap insiden berkenaan.
Menurut Kementerian Sukan di Seoul, satu pertemuan dengan Ketua IOC Thomas Bach sedang diusahakan. Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Korea Selatan juga mengumumkan bahawa mereka akan menghantar surat bantahan kepada IOC untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang.
-- BERNAMA