Olahraga Para Dunia: Muhammad Nazmi raih emas sulung di Jepun
Bernama
Mei 23, 2024 14:50 MYT
Mei 23, 2024 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara Muhammad Nazmi Nasri memerlukan tempoh kurang dua tahun sahaja untuk mencipta impak kehadirannya di pentas antarabangsa apabila meraih pingat emas acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) lelaki pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun hari ini.
Lebih manis, catatan 6.13 meter (m) dilakukan pada penampilan sulungnya di Stadium Memorial Universiade Kobe itu, mengatasi rekod peribadinya 5.74m.
Pingat perak dimenangi wakil Greece, Konstantinos Kamaras yang melakukan 6.01m manakala Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil mengutip gangsa dengan 6.01m.
Muhammad Nazmi, 21, yang mengalami kecacatan separuh badan di sebelah kiri termasuk kaki dan tangan tidak menyangka dapat menyambar emas kerana menurut beliau, pencabarnya di kejohanan itu bukanlah calang-calang.
Malah beliau mengakui berasa agak gerun apabila melihat barisan atlet bertanding sebelum pertandingan bermula.
"Ini pencapaian paling besar dalam karier saya kerana tengok ranking atlet lain, sangat hebat. Saya pula hanya buat sehabis baik hari ini.
"Sebelum ini saya tidak pernah sertai sukan namun segalanya berubah sebelum temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2022 selepas mendapat dorongan daripada dua bekas atlet para negara untuk saya cuba acara lompat jauh," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kejayaan diraih atlet kelahiran Johor itu menyaksikan kontinjen Malaysia mengumpul dua pingat emas selepas Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan pingat itu menerusi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) lelaki dengan lontaran sejauh 17.43m pada Selasa.
-- BERNAMA