Olahraga: Keputusan atlet jangan jadikan isu - Nazmizan
Astro Awani
April 16, 2021 11:19 MYT
April 16, 2021 11:19 MYT
"Usah jadikan tindakan Speedy Jantan dan Haiqal Hanafi satu isu."
Demikian peringatan diberikan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, berhubung keputusan dua pelari pecut tersebut untuk kembali berlatih di bawah kendalian bekas jurulatih Mohd Poad Md Kassim.
Selepas tujuh bulan di bawah kendalian Pengarah Teknikal Olahraga, Dwayne Miller, dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi memilih untuk kembali bersama Mohd Poad.
Ia dalam usaha kedua-dua pemenang pingat emas Sukan SEA itu mengembalikan semula rentak larian yang selama ini hilang.
Bagi Nazmizan, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2003, semua pihak seharusnya menyokong keputusan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal demi masa depan mereka.
Nazmizan yang pernah berada dalam situasi sama menambah, keputusan ini tidak bermakna reputasi Miller, yang berasal dari Amerika Syarikat, akan tercalar.
Isnin lalu, Khairul Hafiz - atau Speedy Jantan - yang merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan, dilaporkan dijangka kembali 'berguru' bersama Mohd Poad.
Hasrat sama turut dinyatakan Muhammad Haiqal, pemegang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.
Khairul Hafiz, 22, dan Muhammad Haiqal, 21, masing-masing menyifatkan keputusan untuk kembali ke pangkuan jurulatih tempatan berusia 52 tahun itu sebagai langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang telah terbina menjadi faktor utama.
Mohd Poad yang telah membimbing kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA itu sejak di bangku sekolah menengah, turut mengesahkan perkara berkenaan.
#Amerika Syarikat
#Sukan SEA
#Haiqal Hanafi
#speedy jantan
#dwayne miller
#pelari pecut
#Mohd Poad Md Kassim
#Muhammad Haiqal Hanafi
#Khairul Hafiz Jantan
#jurulatih
#larian
#demi masa depan