Objektif Program Podium belum tercapai - Laporan Ketua Audit
Bernama
November 22, 2023 15:54 MYT
November 22, 2023 15:54 MYT
KUALA LUMPUR: Objektif utama Program Podium Sukan Elit (Program Podium) yang dilancarkan pada 2 Feb 2016 untuk membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Olimpik masih belum tercapai, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.
Bagaimanapun laporan itu memaklumkan pencapaian output Program Podium di bawah Institut Sukan Negara (ISN) adalah baik kerana telah mencapai sasaran kemenangan pingat di tiga temasya sukan utama.
"Pencapaian output bagi Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) pula kurang memuaskan berdasarkan dua daripada lima sasaran tidak tercapai. Pencapaian keberhasilan pula kurang memuaskan kerana dua tidak tercapai dan satu masih belum dicapai daripada empat sasaran ditetapkan.
"Pengurusan Program Podium masih boleh ditambah baik dengan memastikan perbelanjaan dibuat mengikut skop yang diluluskan, kenaikan gaji jurulatih dibuat berdasarkan garis panduan dan kriteria jelas, kemudahan dan peralatan sukan disenggara secara berkala dan memastikan penyimpanan aset di tempat selamat," menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi mengatasi kelemahan dibangkitkan dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan, pihak audit mengesyorkan MSN supaya memastikan peruntukan Program Podium dibelanjakan mengikut skop yang diluluskan meliputi perbelanjaan atlet, jurulatih, peralatan dan kemudahan berkaitan.
Laporan berkenaan turut mengesyorkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN perlu menyemak semula Garis Panduan Kenaikan Gaji Jurulatih dan menyediakan kriteria yang jelas berhubung penentuan kadar kenaikan gaji jurulatih agar lebih teratur.
"Di samping itu, mekanisme pelaporan dan pemantauan status semasa pencapaian atlet perlu disedia dan dianalisis agar keberkesanan pembangunan atlet dapat dicapai.
"KBS dan MSN perlu memastikan kemudahan dan peralatan sukan disenggara secara berkala supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat bagi melancarkan aktiviti latihan atlet. Ruang dan stor yang mencukupi bagi menempatkan aset sukan di tempat selamat juga perlu diberi perhatian," menurut laporan itu.
-- BERNAMA