Nyawa penyokong Newcastle lebih penting daripada kemenangan Tottenham, kata Reguilon
Astro Arena
Oktober 18, 2021 10:16 MYT
Oktober 18, 2021 10:16 MYT
NEWCASTLE UNITED 2 TOTTENHAM HOTSPUR 3
Sergio Reguilon berkata nyawa seorang penyokong, yang dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika Tottenham menewaskan Newcastle United awal pagi tadi, lebih penting berbanding tiga mata yang diraih pasukannya.
The Magpies mengesahkan bahawa penyokong mereka itu telah dikejarkan ke hospital dan telah stabil selepas perlawanan di St James' Park berkenaan terpaksa dihentikan seketika berikutan situasi kecemasan kesihatan.
Pemain di atas padang menyedari insiden itu, yang berlaku di East Stand sebelum minit ke-40, di mana pertahanan sayap Spurs, Reguilon, segera memberitahu pengadil, Andre Marriner.
Eric Dier dan Oliver Skipp segera berlari ke arah terowong demi mendapatkan bantuan kecemasan buat penyokong itu dan seorang doktor pasukan datang bersama mesin penyambung hayat bagi memberikan bantuan -- pada ketika Marriner menghentikan perlawanan dan mengarahkan keseluruhan pemain untuk meninggalkan padang.
Kedua-dua pasukan kemudian meneruskan baki perlawanan sebelum Spurs memutlakkan kemenangan 3-2.
Reguilon, yang menerima pujian menggunung atas tindakan pantasnya, berkata bahawa kemenangan itu tidak terlalu penting jika dibandingkan dengan nyawa penyokong berkenaan.
"Saya fikir pungutan tiga mata sentiasa menjadi momen yang menggembirakan tetapi bagi saya, apa yang lebih penting adalah keadaan lelaki itu, mereka memaklumkan kepada saya bahawa dia sudah lebih baik dan stabil," katanya kepada Match of the Day.
"Saya melihat penyokong lain melambai-lambai dan seorang daripada mereka sudah rebah ke lantai. Saya dapat lihat ada sesuatu yang tidak kena. Saya menunjukkannya kepada pengadil dan dia menghentikan perlawanan. Saya fikir semuanya sudah lebih baik sekarang dan ia merupakan kegembiraan 100 peratus.
"Ia sesuatu yang janggal, kami masuk ke bilik persalinan selepas saya melihat seorang yang rebah ke lantai, saya menjadi amat gementar kerana saya tidak suka melihatnya," katanya.
Dalam perlawanan itu, Callum Wilson meletakkan Newcastle di depan seawal minit kedua sebelum Spurs membalasnya dengan tiga gol hasil sentuhan Tanguy Ndombele, Harry Kane dan Son Heung-min sebelum separuh masa manakala Dier pula terjaring gol ke gawang sendiri pada lewat permainan.