Nwakaeme pemain pertama Liga Malaysia 2019 terima surat tunjuk sebab

Astro Arena
Februari 20, 2019 19:46 MYT
Nwakaeme (kanan) mengkritik mutu pengadilan masih di takuk lama menganggap pengadil perlawanantidak menjalankan tugas dengan sempurna. - Foto: Pahang FA
PEMAIN import Pahang, Dickson Nwakaeme, bakal menjadi pemain pertama Liga Malaysia yang
menerima surat tunjuk sebab ekoran kritikan terbukanya ke atas mutu pengadilan perlawanan
melibatkan pertemuan di antara Melaka dan Pahang tempoh hari.
Pengerusi jawatankuasa pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP (B) Md Dali Wahid,
mengakui unitnya kini sedang meneliti ulasan yang dibuat Nwakaeme sebaik tamat perlawanan
tempoh hari.
Nwakaeme yang mengkritik mutu pengadilan masih di takuk lama menganggap pengadil perlawanan,
Wan Tarmizi Wan Ibrahim, tidak menjalankan tugas dengan sempurna.
"Saya akan bawa perkara ini kepada sekretariat dan kami akan siasat dulu. Saya memang baca
perkara itu tetapi kami akan kaji. Jika segalanya tepat, sekretariat akan menghantar surat tunjuk
sebab," ujar Dali.
Surat tunjuk sebab masih belum dikeluarkan FAM, namun Dali mengakui akan berbuat demikian dalam
masa terdekat.
"Saya tidak mengatakan pengadil tidak boleh ditegur. Itu bukan caranya. Apa yang betul tetap
betul, apa kesalahan yang dilakukan pengadil tetap salah. Saya memberitahu pengadil bahawa
mereka perlu tegas dan adil."
Sebelum ini, dua jurulatih Liga Super iaitu pengendali Selangor, B. Sathianathan, dan Abu Bakar
Fadzim (PKNP FC) sudah diberi surat tunjuk sebab oleh FAM berhubung kritikan mereka ke atas
pengadil selepas perlawanan.
#Dickson Nwakaeme #FAM #kritikan #Liga Malaysia #Md Dali Wahid #pahang FA #pemain import
;