Nurul Izzah terus cemerlang, Muhammad Ridwan kalahkan abang

Bernama
Mei 4, 2024 06:15 MYT
Pemenang pingat Emas bagi acara Lelaki dan Wanita Elite Keirin akhir Muhammad Ridwan (kanan) dan Nurul Izzah Izzati (kiri) bergambar bersama pada Siri Trek ASEAN di Velodrom Nasional, pada Sabtu. - Foto BERNAMA
NILAI: Bintang muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus cemerlang apabila memenangi pingat emas keduanya dalam acara keirin pada perlumbaan Piala Presiden 2 Siri Trek ASEAN di Velodrom Nasional di sini, Sabtu malam.
Nurul Izzah yang bakal membuat debut di Sukan Olimpik di Paris, Julai ini tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan final dengan mengetepikan cabaran dua rakan senegara Yong Ann Tung di tempat kedua dan Nurul Aliana Syafika Azizan (ketiga).
Kemenangan itu merupakan emas keirin kedua yang diraih atlet berusia 20 tahun itu dalam kejohanan itu selepas menggondol dua emas masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada perlumbaan Piala Presiden 1 di sini, pada Jumaat.
"Saya gembira sekali lagi dapat menang emas hari ini dalam perlumbaan yang lebih sengit berbanding semalam, tetapi secara keseluruhan prestasi saya lebih baik hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Acara pecut lelaki dan wanita bagi kategori elit tidak dipertandingkan pada Sabtu.
Februari lepas, Nurul Izzah mencipta sensasi apbila muncul juara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di India sebelum layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Beliau akan mengiringi jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut layak ke Paris.
Sementara itu, ketiadaan Mohd Azizulhasni semalam gagal dimanfaatkan Shah Firdaus apabila sekadar membawa pulang pingat perak dalam final keirin yang menyaksikan beliau tewas di tangan adiknya Muhammad Ridwan, manakala tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba negara Ahmad Safwan Ahmad Nazeri.
Muhammad Ridwan menyifatkan kejayaan membawa pulang emas tersebut dan menewaskan abangnya di pentas kompetitif sebagai sangat penting dan mampu membakar motivasinya.
"Saya tak jangka boleh menang sebab ada Shah Firdaus, Sam (pelumba Australia Sam Gallagher) dan pelumba lain antaranya (dari) Indonesia yang berikan saingan hebat, tapi saya hanya kayuh sekuat tenaga dan yang saya tahu saya nak jadi yang pertama sampai ke garisan penamat.
"Pada saya kejayaan ini amat penting untuk bakar lagi semangat saya di perlumbaan seterusnya, saya tagih kemenangan sebab dah lama sangat tak menang...menang keirin individu adalah pencapaian terbaik saya. Saya bersyukur," kata atlet berusia 23 tahun itu.
Mohd Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah masing-masing akan berlepas ke Jepun Isnin ini, bagi menyertai kejohanan berbasikal Siri Piala Trek Jepun minggu depan sebagai antara persediaan bertanding di Olimpik.
-- BERNAMA
#atlet berbasikal trek #Nurul Izzah Izzati #piala presiden 2 #siri trek asean
;