Nurul Izzah tambah lagi pingat di India
Bernama
Jun 22, 2022 04:30 MYT
Jun 22, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menambah satu lagi koleksi pingat peribadinya pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, pada Rabu.
Pelumba berusia 19 tahun itu merangkul gangsa bagi saingan akhir keirin wanita pada kejohanan berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu.
Mina Sato dari Jepun menjuarai acara tersebut manakala perak pula menjadi milik pelumba Korea Selatan, Park Ji Hae.
Ahad lepas, Nurul Izzah mencatat nama sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi emas di kejohanan itu apabila mengungguli acara 500 meter ujian masa dengan catatan masa 35.499 saat (s).
Sementara itu, pasukan junior negara membawa pulang dua lagi pingat menerusi dua pelumba wanitanya, Nyo Ci Hui bagi acara omnium serta Azwa Nabila Abdullah dalam saingan keirin.
Ci Hui meraih perak dengan mengumpul 116 mata keseluruhan di belakang juara dari Jepun, Maho Kakita (153 mata) manakala pelumba Uzbekistan, Asal Rizaeva memenangi gangsa (110 mata).
Azwa pula sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa manakala pelumba Korea Selatan, Kim Doye meraih emas diikuti rakan senegaranya, Na Yunseo untuk perak.
-- BERNAMA