Nurul Izzah cipta sensasi raih emas acara keirin Piala Presiden MNCF II

Bernama
Disember 8, 2022 23:56 MYT
Nurul Izzah berkata kekecewaan gagal merangkul emas pada acara sama semalam menjadi pendorong utama buat beliau membuat kayuhan cemerlang pada perlumbaan hari ini. - Gambar fail
NILAI: Bintang muda berbasikal trek wanita negara kian meningkat Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bangkit menebus kekecewaan semalam apabila berjaya meraih pingat emas acara keirin perempuan pada perlumbaan Piala Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) II, di sini hari ini.
Gadis berusia 19 tahun berasal dari Jitra , Kedah itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan pelumba berpengalaman Anis Amira Rosidi dan pelumba Hong Kong Ching Yin Shan yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Mengulas mengenai perlumbaan terbabit Nurul Izzah yang merupakan Juara Asia itu berkata kekecewaan gagal merangkul emas pada acara sama semalam di Piala Presiden MNCF I menjadi pendorong utama buat beliau membuat kayuhan cemerlang pada perlumbaan hari ini.
"Tadi saingan agak sengit sebab jarak agak jauh saya tak sangka dapat pecut tinggalkan yang lain. Perlumbaan semalam saya sangat leka, jadi hari ini saya cuba bangkit semula untuk terus menang," katanya selapas perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia di sini.
Terdahulu, Nurul Izzah turut menduduki tempat kedua acara pecut perempuan selepas ditewaskan rakan sepasukan Anis Amira 2-0.
Pada Piala Presiden MNCF I semalam, Nurul Izzah hanya berpuas hati dengan kedudukan keempat acara keirin dengan pelumba dari Hong Kong, Yeung Cho Yiu meraih emas.
Bagi acara pecut wanita, beliau turut hanya menduduki tempat keempat apabila pelumba Cho Yiu turut memperoleh emas.
-- BERNAMA
#Nurul Izzah #Bintang muda berbasikal #keirin perempuan #mncf
;