Nurul Azurin harap kontrak baharu bersama Misaka United FC disambung
Bernama
Februari 2, 2022 13:55 MYT
Februari 2, 2022 13:55 MYT
KUALA LUMPUR: Masa depan penjaga gawang skuad bola sepak wanita negara Nurul Azurin Mazlan di India masih menjadi tanda tanya walaupun menampilkan aksi cemerlang bersama skuad Misaka United FC baru-baru ini.
Nurul Azurin yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik pada saingan Karnataka Women's League musim 2021/2022 masih menanti perkhabaran daripada Misaka United FC berhubung penyambungan kontrak baharunya.
Pemain Wanita Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2015 dan 2018 itu berkata ini kerana status kontraknya masih lagi dalam peringkat perbincangan bersama kelab itu.
"Sekarang kami masih lagi menunggu keputusan dari All India Football Federation (AIFF) sama ada Misaka United mendapat slot untuk ke Indian Women League (IWL) atau sebaliknya.
"Sekiranya Misaka United dapat ke IWL, mereka mungkin akan memanggil saya kembali," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nurul Azurin yang sebelum ini beraksi selama dua bulan bermula Disember lepas sehingga kontraknya tamat 31 Januari lepas berjaya merekodkan empat 'clean sheet' daripada lapan perlawanan sepanjang liga itu berlangsung.
Sementara itu, gadis berusia 22 tahun itu berpuas hati dapat membuktikan Malaysia sebenarnya mempunyai pemain yang baik untuk bermain di luar negara.
"Saya rasa gembira sebab boleh letak benchmark di mana taraf pemain Malaysia, jadi mereka (kelab luar negara) boleh meletakkan expectation yang pemain tempatan ini tidak kurang hebatnya," katanya.
Justeru, beliau mengharapkan prestasinya di India dapat membuka mata pasukan dari luar negara untuk memancing pemain Malaysia yang lain selepas ini.
Nurul Azurin sebelum ini pernah mewakili negara dalam Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, September lepas.
-- BERNAMA