Nur Farah Aziera tekad bawa kilauan pingat pada penampilan terakhir di SUKMA 2024

Bernama
Ogos 14, 2024 11:10 MYT
Nur Farah Aziera menjalani latihan di Lapang Sasar Memanah Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, ketika ditemui Bernama baru-baru ini. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Atlet memanah Johor Nur Farah Aziera Shamsuddin tekad membawa kilaun pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya sukan berkenaan.
Anak kelahiran Pontian berusia 21 tahun berkata beliau yakin dan optimis memberikan persembahan terbaik berbekalkan pengalaman serta latihan yang telah dijalani.
"SUKMA Sarawak menjadi SUKMA kedua dan terakhir yang akan saya sertai jadi besar harapan saya untuk membawa pingat kepada Johor. Saya akan tingkatkan momentum sebelum ini ketika meraih gangsa bagi kategori compound berkumpulan.
"Memandangkan ini SUKMA terakhir saya, keluarga banyak beri semangat dan dorongan kerana sebagai atlet ada masa kita berperang dengan diri sendiri jadi sokongan mereka amat membantu menaikkan semangat," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Beliau yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata persiapan termasuk dari segi latihan kini telah mencapai 80 peratus.
"Sebenarnya persiapan bermula sejak SUKMA edisi lepas (2022) lagi kita teruskan latihan sehingga kini supaya dapat kekalkan momentum sebab pada edisi itu Johor muncul juara jadi kita perlu bersama-sama mengekalkan momentum ini.
"Kita jalani latihan setiap hari kecuali Ahad bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung 2 petang hingga 6 petang. Saya yakin saya dan rakan sepasukan mampu memberikan yang terbaik untuk SUKMA kali ini, kita nak dapat apa yang disasarkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sukan Memanah Johor Abdul Razak Yaacob berkata semangat juang dan dedikasi anak didiknya diyakini mampu mempertahankan pingat emas.
Abdul Razak berkata segala perancangan telah dilaksanakan untuk memastikan pasukan memanah Johor mengulangi kejayaan dua pingat emas serta menambah kutipan kilauan emas.
"Sasaran kita pada kali ini dua pingat emas sama seperti edisi lepas jadi kita akan berusaha untuk kekalkan. Kita sasar dua pingat emas dulu dan kita akan berusaha untuk dapatkan lebih daripada itu.
"Persediaan pasukan Johor pada 80 peratus, jadi di peringkat akhir kita sudah kenal pasti sudut psikologi dan sebagainya. Kita mendapat bantuan dan sokongan penuh dari 'The Cage by MSNJ' yang banyak membantu meningkatkan kekuatan fizikal, mental dan nasihat berkaitan pemakanan serta pemulihan khas untuk atlet Johor," katanya.
Ketua Kontinjen SUKMA Johor Datuk Pandak Ahmad yang juga Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor yakin pasukan itu mampu mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi pada temasya SUKMA Kuala Lumpur dua tahun lepas.
Beliau berkata ini berdasarkan pencapaian pasukan memanah dalam kejohanan jemputan di Bogor, Indonesia baru-baru ini dan latihan yang telah dijalankan.
"Memanah satu daripada sasaran saya (emas) dan selaku presiden persatuan saya mengambil inspirasi peserta Olimpik negara Syaqiera Mashayikh yang juga menjadi inspirasi kepada atlet memandangkan mereka sebelum ini berlatih bersama.
"Saya yakin dengan prestasi atlet kita ... kita mampu capai banyak pingat untuk memanah pada SUKMA edisi Sarawak," katanya.
-- BERNAMA
#Atlet memanah #Nur Farah Aziera Shamsuddin #SUKMA #Pandak Ahmad
;