Nur Dhabitah raih perak kedua di Birmingham
Bernama
Ogos 8, 2022 08:00 MYT
Ogos 8, 2022 08:00 MYT
BIRMINGHAM: Buat seketika, segalanya berjalan lancar buat atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam misinya menyumbang emas terjun pertama negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Namun, beliau yang mendahului carta selepas terjunan ketiga dengan 207.90 mata, menampilkan gerakan kurang kemas pada terjunan keempatnya yang hanya mengutip 55.50 mata dan akhirnya terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Saingan terdekatnya Maddison Keeney dari Australia meraih 75.95 mata menerusi terjunan keempat untuk merampas kedudukan teratas.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu bangkit untuk memperoleh 67.50 mata selepas terjunan kelima dan terakhir, bagaimanapun sudah terlewat untuk mengatasi Keeney yang terus mempamerkan aksi mantap bagi memikat para juri dengan 72.00 mata sekali gus membawa pulang emas buat Australia.
Seorang lagi atlet terjun negara Ong Ker Ying menduduki tempat ke-12 dengan 231.60 mata.
Nur Dhabitah yang ditemui selepas pusingan akhir 3m papan anjal di Sandwell Aquatics Centre itu bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan tersebut.
“Untuk Sukan Komanwel kali ini, memang saya tak fokus sangat (pada) acara ini (3m papan anjal) kerana saya lebih tumpu kepada acara 10m platform dan seirama,” katanya kepada Bernama.
Kali terakhir beliau beraksi dalam acara tersebut ialah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lepas dengan kedudukan di tempat keempat.
Terdahulu, Nur Dhabitah menyumbang perak dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee.
Sementara itu, satu-satunya wakil Malaysia dalam 10m platform lelaki akhir Bertrand Rhodict Lises mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding ketika pusingan kelayakan.
Beliau mengumpul 419.60 mata untuk menduduki tempat keenam dalam acara tersebut yang dimenangi Cassiel Emmanuel Rousseau dari Australian dengan 501.30 mata, manakala Rylan Mackenzie Wiens dari Kanada membawa pulang perak (492.80 mata) dan peserta tuan rumah Matthew Lee meraih gangsa dengan 477.00 mata.
-- BERNAMA